Sakit,seringkali kita akan mengeluh tatkala ditimpa sakit.Kita akan sering menyalahkan semua orang sebagai punca kita ditimpa sakit.
Sedarlah sebenarnya sakit ini memberi seribu satu hikmah kepada kita.Banyak pengajaran yang boleh kita pelajari.Jangan kita terlalu ikutkan emosi kita.Tetapi bersabarlah dan perbanyakan muhasabah diri.Sesungguhnya sakit yang Allah turunkan,mempunyai banyak hikmah dan pengajaran.
SAKIT:Sebagai penghapus dosa
Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:
"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya,melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (HR Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571)
Subhanallah!Lihatlah,sesungguhnya sakit yang Allah kurniakan sebenarnya adalah satu 'anugerah'.
Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman pernah berkata "sebagai manusia biasa sudah tentu kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan samada secara sengaja atau tidak.Sedangkan dosa itu sebenarnya menjauhkan diri kita dari Allah.Jadi hikmah diturunkan kesakitan atau bala bencana itu adalah sebagai cara untuk Allah menghapuskan dosa kita yang berkenaan."
"Jadi jangan pandang sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah berburuk sangka kepada Allah.Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat untuk Allah membersihkan diri kita dari segala dosa dan noda."kata Ustaz Zaharuddin lagi.
SAKIT:Sebagai medan muhasabah diri
Apabila kita sakit,lebih banyak masa yang kita habiskan adalah bersendirian.Pada waktu ini,kita tidak mempunyai cukup tenaga untuk bertindak aktif.Jadi gunakan peluang ini sebaiknya sebagai masa untuk kita memuhasabah diri.Cuba kita renungkan sebentar."Apa yang aku dah buat sepanjang aku sihat?Adakah semua ibadah wajib telah aku laksanakan sepanjang aku sihat?Apakah aku telah menggunakan masa sihat aku untuk menyumbang sesuatu untuk agama?Kemana aku gunakan anggota-anggota tubuh badan yang telah Allah kurniakan kepada aku sepanjang aku sihat?
Jadi gunakan sebaiknya masa ini untuk kita memuhasabah diri serta memperbetulkan setiap kesalahan diri kita.Minta ampun dan bertaubatlah kepada Allah S.WT sekiranya kita telah melakukan dosa kepadaNya dan minta ampunlah kepada manusia jika kita melakukan kesalahan kepada mereka.
SAKIT:Sebagai ganjaran
Para Rasul dan Nabi adalah ma‘shum (terpelihara daripada melakukan segala jenis dosa). Maka antara sebab mereka ditimpa dengan ujian sakit bukanlah sebagai balasan dari dosa yang dilakukan, akan tetapi untuk meninggikan lagi martabat dan kedudukan mereka.
Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menerangkan bahawa ulama berkata: “Hikmah para nabi lebih berat ditimpa dugaan, kemudian mereka yang di bawah taraf para nabi dan seterusnya mereka yang di bawahnya lagi, adalah kerana mereka telah dikhususkan dengan kesabaran yang sempurna, ketelusan penyerahan diri kepada Allah dan dengan pengetahuan bahawa semua itu adalah nikmat daripada Allah Ta‘ala untuk disempurnakan bagi mereka kebaikan yang selayaknya, menggandakan bagi mereka ganjaran pahala dan (bagi mereka) menzahirkan kesabaran dan keredhaan mereka.”
Adapun bagi seorang mukmin, perkara yang sama juga boleh dicapai. Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya ialah:
Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tiadalah seseorang mukmin yang tertusuk duri atau lebih dari itu melainkan Allah mengangkat satu darjat (dengan tertusuk duri itu) atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan.”
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis qudsi daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu yang dimarfu‘kan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Allah Azza wajalla berfirman: “Sesiapa yang Aku hilangkan kedua matanya lalu dia sabar dan mengharapkan pahala, nescaya Aku tidak suka baginya pahala selain syurga.
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang perempuan telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai penyakit yang dideritainya. Menurut hadis tersebut, perempuan itu akhirnya memilih untuk bersabar sahaja dengan keadaanya agar dia memperolehi ganjaran yang lebih besar dengan bersabar. Perempuan itu berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar menyembuhkanku.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah bagimu, maka Allah akan menyembuhkanmu. Dan jika engkau mahu, maka bersabarlah dan (semoga) tiada hisab ke atasmu.”
Perempuan itu pun berkata: “Pasti aku akan (memilih untuk) bersabar dan (semoga) tiada hisab ke atasku.”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Jadi secara kesimpulannya dapat kita simpulkan bahawa sesungguhnya sakit yang kita hadapi ini sebenarnya memberikan seribu satu hikmah dan pengajaran yang sangat-sangat berguna.Cuma ia hanya bergantung pada diri kita untuk menerimanya atau tidak
Wallahu a'lam
sumber rujukan DISINI