BISMILLAHHIRRAHMANNIRRAHIM...
SALAM RAMADHAN~
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam
kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya
berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada
kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan,
tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti
turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah
mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat
Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya
terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat,
jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering
dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran
yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada
satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain
perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak
seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka
umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab
Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka
(untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan
pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.
Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan
bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula
bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang
mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan
malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang
menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena
dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan
yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang
biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik
baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran?
Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat
antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan
hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah
SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini
pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada
seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan
mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun
yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah,
pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah
beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada
Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang
memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan
bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril
pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih
baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para
sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui
malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir
daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak
boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan
ialah seperti:
1. Tidak ada
perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama
diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui
perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat
Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita
mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak
terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu
pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek
kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan
teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan
analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain
di dunia ini.
Manakala
penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di
mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah
mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan
lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling
penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum
melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah
kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar
kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan
umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di
mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan.
Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10
akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan
menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83
tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia
kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam
al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil
yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam
pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu
pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga
ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa
baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya
mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda
menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari
keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam
Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam
lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa
berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya
setiap
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati
nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah.
Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu
pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih
penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu
pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang
bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji,
menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan
seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini
dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari
belenggu kelemahan dan penghinaan.
diambil dari SINI